Cabaran dan Peluang Kerjaya dalam Bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – Part 1

Cabaran kerjaya dibidang OSH sentiasa berkembang

Kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) yang dahulunya terpencil, kini semakin signifikan dan berkembang dalam industri negara yang pelbagai. Sealiran dengan perkembangan ini, cabaran yang dihadapi oleh para pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) juga dikatakan turut meningkat dari hari ke sehari. Cabaran dalam kerjaya ini terus berkembang dalam dua konteks utama iaitu cabaran dalam menggalas tanggungjawab yang semakin meluas, dan cabaran dalam persaingan kerjaya yang semakin sengit.

Peranan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan Covid-19

Dengan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, secara langsung telah mewujudkan cabaran baru dalam kedua-dua konteks ini. Kita dapat saksikan sejak berlaku penularan wabak covid-19, banyak syarikat yang bergelut dengan kesukaran dan kebimbangan untuk meneruskan perniagaan sewaktu atau setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara. Ramai dari kalangan pengamal kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP) turut terlibat bersama-sama dengan pengurusan syarikat dalam menangani situasi sukar ini terutamanya syarikat yang ingin terus beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI), telahpun mengeluarkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Garis Panduan Am bagi Kebenaran Beroperasi Bagi Syarikat-Syarikat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam SOP ini jelas menetapkan tanggungjawab syarikat untuk melantik penyelaras yang sebaiknya terdiri dari kalangan pengamal kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP) untuk membantu syarikat dalam menyelaras usaha pencegahan wabak Covid-19 di tempat kerja.

Perkara 16. Syarikat hendaklah melantik seorang atau lebih penyelaras bagi membuat penyelarasan langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 di tempat kerja. Sebaiknya penyelaras hendaklah terdiri daripada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan (OSH-C) atau Penyelia Tapak Bina (SSS) yang berdaftar atau tersenarai dalam daftar Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), atau Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja. Penyelaras yang dilantik hendaklah melaporkan status pematuhan syarat-syarat kebenaran beroperasi yang ditetapkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

Sungguhpun  perkara ini dilihat sebagai suatu bentuk pengiktirafan kepada para pengamal dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan, namun ia juga harus dilihat sebagai suatu bentuk cabaran baru yang tidak boleh dipandang ringan. Situasi yang dihadapi bukanlah suatu perkara yang biasa, pandemic sebegini tidak berlaku setiap abad! Oleh yang demikian, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika sebahagian besar pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) tidak mempunyai pengetahuan luas dan kurang berpengalaman dalam menangani situasi pandemik. Oleh itu ia merupakan satu cabaran baru yang dihadapi oleh ramai di seluruh negara pada waktu ini.

Dalam menghadapi kesukaran untuk membantu majikan untuk menasihati tentang langkah-langkah pencegahan penularan wabak di tempat kerja, mujur di negara kita selain dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi-agensi lain termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) turut berganding bahu bersama-sama membendung penularan covid-19 dari terus menjejaskan kesejahteraan negara.

Pada awal Mac 2020, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan Arahan Pematuhan Kepada Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 Berkaitan Langkah Langkah Pencegahan Terhadap Wabak Jangkitan Coronavirus. Manakala Kementerian Kerja Raya melalui <strong>Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Langkah Pencegahan Covid-19 Di Tapak Bina. Beberapa agensi kerajaan yang lain juga telah mengeluarkan garis panduan yang serupa bagi industri yang berbeza. Langkah yang disenaraikan dalam arahan dan garis panduan tersebut sebanyak memberikan panduan atau pencetus idea kepada para pengamal untuk menjalankan tugas mereka sebagai penasihat kepada majikan.

Selain dari SOP dan panduan oleh agensi kerajaan Malaysia, para pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) turut disarankan agar mendapatkan maklumat dari sumber yang sah dari badan-badan dunia seperti World Health Organisation (WHO) dan Centre for Disease Control and Prevention (CDC). Mereka juga harus mengambil peluang dari perkongsian oleh badan-badan NGO di negara kita dan individu pengamal dilihat turut memberikan sumbangan dalam bentuk nasihat dan perkongsian ilmu di media sosial. Dengan ini sekurang-kurangnya pengamal mempunyai sumber rujukan untuk diadaptasi ke dalam proses dan prosedur di tempat kerja dalam pelbagai bentuk seperti bentuk Pelan Kelangsungan Perniagaan (Business Continuity Plan) atau Pelan Tindakan Pandemik.

Dalam musibah pandemik covid-19 yang melanda dunia ini, pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) perlu terlibat secara aktif bersama-sama dengan syarikat, agensi kerajaan dan seluruh warga dunia umumnya untuk membendung penyebaran dan menangani situasi ini. Bukan sahaja ia memberikan pengalaman berharga kepada pengamal malah membuka jalan untuk menimba lebih banyak ilmu serta jaringan kerjasama dengan banyak pihak yang pastinya memberi manafaat kepada kerjaya mereka dalam bidang ini.

Penglibatan aktif pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam usaha membendung pandemik akan memberi manfaat besar terhadap kerjaya mereka. Sebagai contoh penglibatan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam membangunkan dan melaksanakan Pelan Kelangsungan Perniagaan (Business Continuity Plan) memberi perspektif baru kepada sesetengah pengamal tentang fungsi mereka sebagai penasihat professional dalam organisasi. Sudah tentu tanggungjawab ini memerlukan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk mengkaji amalan dan standard yang berbeza seperti <strong>ISO 22301 (Business continuity management systems). Selain itu, pengamal juga perlu menjalinkan bekerjasama lebih rapat dengan pengamal OSH dari pelbagai disiplin seperti doktor pekerjaan untuk mendapatkan input yang lebih bernilai. Oleh yang demikian, jelas bahawa penglibatan aktif dalam menjalankan tugas tugas sebagai seorang pengamal OSH akan memberi lebih pendedahan kepada medan ilmu dan jaringan hubungan professional yang lebih luas.

Cabaran Kerjaya Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan Covid-19

Cabaran dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari konteks peluang dan persaingan kerjaya pula dilihat akan juga terkesan oleh pandemik covid-19 berikutan impaknya terhadap ekonomi dunia yang telah banyak dibincangkan dan mula menimbulkan keresahan banyak pihak. Pada peringkat ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat telah merencatkan aktiviti perniagaan dikebanyakan industri di seluruh negara. Kesan pada ekonomi seterusnya pula dijangkakan tidak dapat dipulih dengan kadar yang segera. Oleh yang demikian kerajaan baru-baru ini telah mengambil langkah dengan melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada anda semua. Pelan ini sebenarnya bukan sekadar bertujuan untuk membantu rakyat mengharungi situasi yang sukar tetapi juga bagi memastikan kesan negatif dari pandemik terhadap pertumbuhan ekonomi negara dapat dikurangkan agar pemulihan segera dapat dicapai. Sekiranya pemulihan ekonomi ini mengambil jangkamasa yang panjang, ia mungkin mengakibatkan permintaan terhadap sokongan dan kerjaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) juga terjejas. Kesan ini akan mula dirasai terutamanya mereka yang bekerja secara freelance atau kontrak terhad seperti di pusat-pusat latihan dan projek-projek pembinaan.

Oleh yang demikian Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) seharusnya lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang dengan mempersiapkan diri untuk bersaing dan mengembangkan kerjaya masing-masing. Persediaan yang perlu dilakukan bukan sekadar memperkasa ilmu dan pengetahuan, malah jaringan professional juga mesti diperluaskan. (Hal ini akan dibincangankan dalam bahagian seterusnya. Know How vs Know Who)

Sekiranya kita cuba melihat dari sudut yang positif pula, wabak covid-19 ini mungkin telah membuka satu laluan baru kepada para pengamal untuk kekal signifikan dalam organisasi syarikat. Seperti yang telah dibincangkan tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kebenaran untuk syarikat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Dalam SOP ini jelas menetapkan tanggungjawab syarikat untuk melantik penyelaras yang sebaiknya terdiri dari kalangan pengamal untuk membantu syarikat dalam menyelaras usaha pencegahan wabak Covid-19 di tempat kerja. Syarikat yang terlibat pastinya mengambil serius hal ini demi memastikan kelangsungan operasi di syarikat mereka, sekaligus ini memberikan .

Dalam satu mutiara kata ‘setiap kali cabaran melanda, peluang pasti tersedia’, untuk menghadapi cabaran ini pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) perlu sentiasa bersikap positif dan bersedia untuk melakukan apa yang perlu. Memang tidak dinafikan persaingan kerjaya akan menjadi lebih sengit dalam proses pemulihan ekonomi kelak, tetapi kita tidak boleh sekadar meratapi dan mengeluh dengan cabaran yang datang, sebaliknya mula membentuk perancangan untuk menghadapinya dengan cara terbaik.

Kerjaya Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) sebelum Covid-19

Perlu diakui bahawa sebelum pandemik Covid-19 berlaku pun, isu peluang dan persaingan kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) telah pun bermula. Kita telah mendengar rungutan dari sesetengah pengamal tentang persaingan dalam peluang kerjaya yang semakin sengit, ada juga yang menyuarakan tawaran gaji tidak memenuhi harapan mereka. Khabar mengatakan bekalan tenaga kerja Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) telah mula berlaku, lambakan berbanding dengan permintaan. Adakah ini benar? (hal ini akan dibincangkan dalam bahagian seterusnya – Otai vs Junior). Jika ini betul-betul berlaku, maka pandemic covid-19 ini pula dijangka akan menambah parah situasi sedia ada.

Banyak maklum balas dari individu yang baru menceburi kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) menyatakan mereka berhadapan dengan kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan disebabkan saingan yang semakin ramai serta kehendak majikan yang dikatakan lebih memilih untuk mendapatkan khidmat mereka yang berpengalaman. Persoalan timbul, mana mungkin mereka dapat menimba pengalaman tanpa dibukakan peluang. Umpama pertelingkahan ‘ayam dengan telur’, yang mana perlu didahulukan?

Dalam pada itu terdapat juga maklum balas yang berbeza, dilihat perpindahan kerjaya dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain (job hopping) dalam jangkamasa yang singkat masih berlaku di kalangan pengamal. Ini mungkin petanda bahawa dakwaan tentang bekalan tenaga kerja melebihi permintaan adalah tidak begitu tepat. Mungkin bukan sekadar kuantiti bekalan tenaga kerja Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang menjadi isu, sebaliknya kualiti bekalan tenaga kerja ini juga harus diberikan perhatian.

Langkah kerajaan dalam usaha untuk meningkatan bilangan dan kualiti Pengamal dipelbagai sektor diharap akan dapat membantu para pengamal untuk mengembangkan kerjaya mereka tanpa mengira samada mereka yang baru menceburi mahupun yang telah lama berkhidmat. Walaupun belum menampakkan impak yang signifikan, kita yakin bahawa ia pasti akan dapat dicapai dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak. Sebagi contoh, melalui pelan strategik yang dirangka oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), IKS disarankan melantik sekurang-kurangnya seorang pekerja sebagai wakil pengilang (Occupational Safety and Health Coordinator – OSH-C) yang menguruskan hal-ehwal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Ini memberi peluang kepada mereka yang ingin memulakan kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) pada peringkat asas.

Cabaran sentiasa mendatang selagi kita hidup

Kesimpulannya, apa juga cabaran yang datang dalam kerjaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) ini pasti ada jalan untuk menghadapinya. Cabaran yang datang biasanya tidak sekadar memberi tekanan sebaliknya membuka peluang kearah sesuatu yang lebih baik atau sekurang-kurangnya setara. Seorang pengamal yang berpotensi akan sentiasa melihat cabaran sebagai suatu laluan untuk berjaya, hanya satu cara untuk menghadapi cabaran iaitu menempuhi dengan segala daya usaha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *