Readings-en

Pengkategorian hazad dalam HIRARC

Dalam catatan yang lalu kami mengajak pembaca membincangkan tentang takrifan hazad yang merupakan langkah awal dalam pengurusan risiko di tempat kerja. Takrifan yang tepat amat penting bagi tujuan pengenalpastian hazad dimana penulisan suatu hazad itu sendiri mempengaruhi ketepatan langkah kawalan yang akan ditetapkan.

Pengkategorian hazad merupakan suatu lagi langkah yang penting dalam pengurusan risiko. Ia bertujuan untuk menentukan klasifikasi hazad yang telah dikenalpasti, agar analisa lebih terperinci dapat dilakukan. Keputusan dari analisa yang terperinci tentang hazad tersebut akan dapat membantu banyak pihak dalam memahami situasi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Ini sekaligus memberikan panduan kepada pihak pengurusan syarikat dalam merangka program yang besesuaian untuk memastikan tempat kerja mereka lebih selamat dan sihat.
Terdapat pelbagai pendekatan yang biasa digunapakai bagi tujuan untuk mengklasifikasikan hazad pekerjaan. Biasanya hazad-hazad diklasifikasikan mengikut kumpulan dan kategorinya
Terdapat tiga kumpulan hazad yang sering digunapakai untuk tujuan klasifikasi am; hazad keselamatan, hazad kesihatan dan hazad alam sekitar
  • Hazad keselamatan terdiri dari apa-apa yang berpotensi untuk mengakibatkan kemudaratan dalam bentuk kecederaan orang atau kerosakan harta
  • Hazad kesihatan merupakan apa-apa yang berpotensi untuk mengakibatkan kemudaratan dalam bentuk penyakit dan keracunan
  • Hazad alam sekitar merupakan apa-apa yang berpotensi untuk mangakibatkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Pengkelasan berdasarkan kumpulan tidak bermaksud memisahkan hazad secara fizikal. Sebaliknya pengkelasan tersebut hanya mengkelaskan ciri-ciri suatu hazad. Dalam banyak keadaan, suatu hazad itu boleh mempunyai ketiga-tiga sifat kumpulan. Sebagai contoh, bahan cecair petrol merupakan suatu hazad keselamatan kerana sifatnya yang mudah terbakar, dalam masa yang sama ia juga merupakan hazad kesihatan kerana kandungan benzenenya boleh mengakibatkan penyakit, dan ia juga merupakan hazad alam sekitar kerana ia telah dikenalpasti sebagai berbahaya kepada hidupan akuatik
Selain dari klasifikasi berdasarkan ciri-ciri kumpulan, hazad juga diklasifikasikan berdasarkan kategori yang telah ditetapkan oleh pelbagai piawaian dunia dan kebangsaan. Terdapat lima kategori hazad yang digunapakai bagi tujuan klasifikasi yang lebih khusus; Hazad fizikal, hazad kimia, hazad biologi, hazad psikologi dan (hazad) ergonomik
  • Hazad fizikal ialah apa-apa yang berpontensi untuk mengakibatkan kemudaratan akibat dari tindakbalas fizik seperti bunyi tekanan, gravity, bunyi, getaran, radiasi dan suhu.
  • Hazad kimia ialah apa-apa bahan yang berpontensi untuk mengakibatkan kemudaratan akibat dari sifatnya yang tindakbalas secara kimia seperti exotermik, oksidasi, hidrolisis, dinaturasi dan sebagainya. Bahan ini boleh wujud samada dalam bentuk cecair, pepejal, habuk, asap, wap dan gas;
  • Hazad biologi ialah apa-apa hidupan atau hasil pengeluarannya, yang berpontensi untuk mengakibatkan kemudaratan akibat sifat kitaran hidupnya seperti bakteria, virus, fungus, bisa atau rembesan racun dari tumbuhan;
  • Hazad psikologi ialah apa-apa sumber yang boleh mengakibatkan kemudaratan fizikal dan mental berpunca dari tindakbalas yang negatif terhadap sumber tersebut. Sebagai contoh; beban kerja, kitaran shif kerja atau hubungan antara seorang pekerja;
  • Hazad yang berkait dengan amalan kerja yang bertentangan dengan prinsip ergonomik, contohnya bekerja dengan postur badan yang tidak semulajadi, atau menampung bebanan diluar kemampuan tubuh badan.
Bagi setiap kategori hazad yang dibincangkan di atas terdapat klasifikasi lebih mendalam berdasarkan faktor-faktor risiko yang terlibat bagi setiap kategori.
—————————————-
Segala isi kandungan di dalam artikel ini adalah hak milik IntESH Group dan pemberi maklumatnya. Apa-apa bentuk penggunaan pihak lain termasuklah peniruan, pengubahsuaian, pengedaran dan penyiaran tanpa kebenaran pihak IntESH Group adalah salah di sisi undang-undang cyber.
PENAFIAN: IntESH tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada artikel ini.
——————————————
Hakcipta Terpelihara 2016 © IntESH Group

Leave a Reply

You have to agree to the comment policy.