Copy of Copy of Copy of Copy of A New Design - Made with PosterMyWall

Adakah Pelaksanaan HIRARC Di Tempat Kerja Sekadar RITUAL?

Pengenalan HIRARC

HIRARC adalah singkatan daripada Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control merupakan salah satu pendekatan dalam pengurusan risiko yang khusus bagi risiko keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Penggunaannya khusus untuk mengkaji punca-punca yang boleh mengakibatkan kecederaan dan penyakit di kalangan pekerja akibat dari operasi syarikat. Melalui pelaksanaan HIRARC juga, langkah kawalan yang bersesuaian akan dikenalpasti bagi menghapuskan atau mengurangkan kadar risiko yang dihadapi oleh pekerja. Di sesetengah syarikat, penggunaannya telah diperluaskan kepada pengurusan risiko yang lain seperti pengurusan risiko alam sekitar dan sekuriti. HIRARC turut disebut sebagai Risk Assessment terutamanya dikalangan syarikat yang beribu pejabat dari benua Eropah yang kurang menggunakan terma HIRARC.

Kewajipan Melaksanakan HIRARC di tempat kerja

Belum ada perkataan HIRARC dalam undang-undang statut di Malaysia yang tertulis secara spesifik menuntut majikan agar melaksanakannya di tempat kerja. Hanya dua taksiran risiko yang diwartakan sebagai peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 94). Dua taksiran risiko ini hanya merangkumi aspek bahan kimia berbahaya kepada kesihatan dan pendedahan pekerja terhadap bunyi bising. Walaubagaimanapun satu garispanduan telah dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebagai panduan kepada industri untuk pelaksanaan Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control  di tempat kerja

Sungguhpun tidak ditulis secara jelas dalam undang-undang, kita telah melihat beberapa syarikat dikenakan tindakan mahkamah kerana gagal mengadakan taksiran risiko. Bagaimana hukuman ini boleh disabitkan tanpa peruntukan jelas dalam undang-undang jenayah?.Maksud 'practicable'

Mengambil langkah setakat praktik  bagi mencegah kemalangan merupakan tuntutan yang paling asas dalam peruntukan OSHA 94. Menarik tentang peruntukan ini, terdapat empat elemen dalam menentukan samada majikan telah mengambil langkah yang praktik ataupun tidak. Salah satu dari elemen tersebut merupakan pengetahuan tentang bahaya dan risiko dan pengetahuan tentang cara menghapuskan bahaya atau mengurangkan risiko. 

Implikasi undang-undang

Akibat dari suatu kemalangan, majikan boleh didakwa sekira didapati gagal mengambil langkah yang praktik bagi mencegah kemalangan tersebut. Di mahkamah, majikan perlu membuktikan bahawa; dia telah berusaha mencegah kemalangan tersebut dengan mengenalpasti bahaya dan risiko dalam operasi. Majikan juga perlu membuktikan bahawa dia telah mememikirkan dan melaksanakan langkah bagi menghapuskan bahaya atau mengurangkan risiko. Melainkan majikan boleh membuktikan dia telah menggunakan kaedah lain yang lebih baik, HIRARC (sebagaimana garispanduan JKKP) dikira sebagai kaedah yang praktik bagi mengenalpasti hazad dan mengawal risiko bagi mengelak kemalangan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah ramai majikan yang gagal melaksanakan HIRARC telah dihukum di mahkamah apabila berlaku kemalangan di tempat kerja.

Berita Mengenai HIRARC - pengurusan risiko yang gagal

Mengapa Pelaksanaan HIRARC Sering Gagal di tempat kerja

Sudahkah HIRARC diamalkan di tempat kerja anda? HIRARC yang dilaksanakan dengan baik dapat mencegah kemalangan dan penyakit di tempat kerja. Malangnya dari pemerhatian dan pengalaman penulis, banyak kemalangan yang berlaku berpunca dari hazad yang telah pun dinyatakan dalam dokumen tersebut. Adakah Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control  ini benar-benar boleh mencegah kemalangan? Dimana silapnya?

Berdasarkan pemerhatian, amalan ini disesetengah tempat kerja tidak dilaksanakan dengan kaedah yang betul dan tidak menerapkan nilai-nilai sebenar . Ada syarikat yang menyediakan HIRARC sekadar helaian kertas untuk tujuan permohonan Permit To Work (PTW) atau untuk ditunjukkan kepada Auditor. Selain dari tujuan tersebut, dokumen tersebut akan disimpan di dalam fail (hardcopy) atau dalam computer (softcopy).

Mungkin pada peringkat awal ketika mula memperkenalkan amalan HIRARC, kita terlalu tertumpu kepada pencapaian dari aspek jumlah yang dilaksanakan. Ia telah mengakibatkan amalan menyediakan dokumen ini di sesetengah syarikat tidak lebih dari sekadar ritual tanpa memahami nilai sebenarnya.

Ia sepatutnya bukan sahaja disediakan sebagai persediaan awal sebelum sesuatu kerja dijalankan atau permohonan untuk kebenaran bekerja. Dokumen HIRARC yang telah dilulus seharusnya digunapakai secara aktif  dalam operasi termasuk sebagai rujukan untuk taklimat dan pemantauan kerja.

Formal Risk Assessment dan Dynamic Risk Assessment

Untuk memastikan HIRARC dilaksanakan dengan betul bagi mencegah kemalangan di tempat kerja, ia seharusnya diamalkan dalam dua bentuk iaitu HIRARC Formal (Formal Risk Assessment) dan HIRARC Dinamik (Dynamic Risk Assessment)

HIRARC Formal (Formal Risk Assessment)

Formal Risk Assessment merupakan amalan pengurusan risiko yang paling banyak diamalkan di tempat kerja. Garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH / JKKP) menjelaskan langkah-langkah pelaksanaan HIRARC secara formal dan teratur. Di tempat kerja, HIRARC formal dilaksanakan oleh individu yang paling mahir tentang skop kerja yang terlibat. Amalan ini menghasilkan suatu dokumen yang menyenaraikan semua hazad, risiko serta langkah kawalannya yang terpakai untuk sesuatu kerja. Dokumen tersebut seharusnya disemak dan diluluskan oleh pegawai atau ketua Jabatan atau syarikat yang terbabit. Dengan amalan ini, semua pihak akan terlibat samada menyedia, menyemak dan meluluskan langkah kerja dan kawalan risiko yang akan dilaksanakan. Amalan ini juga akan menghasilkan dokumen yang bakal menjadi panduan dan rujukan untuk menghasilkan prosedur kerja selamat.

borang HIRARC

HIRARC Dinamik (Dynamic Risk Assessment)

Bentuk taksiran risiko dinamik pula merupakan kesinambungan dari pelaksanaan taksiran risiko formal. Dokumen HIRARC formal yang disiapkan akan disemak semula di stesen kerja sebelum pelaksanaan tugas. Semasa membuat semakan, pekerja akan melihat sekiranya terdapat perbezaan antara risiko yang tercatat dengan keadaan sebenar di stesen kerja. Disesetengah syarikat, taksiran risiko dinamik melibatkan penggunaan senarai semak yang dihasilkan berdasarkan dokumen HIRARC formal. Senarai semak ini akan menyenaraikan langkah-langkah yang telah ditetapkan dalam HIRARC formal yang perlu dipastikan ada sebelum sesuatu tugas dijalankan. Kaedah ini lebih sesuai kerana memudahkan pekerja memastikan segala yang perlu untuk keselamatan telah disediakan sebelum memulakan tugas.

Semasa kerja berlangsung, sebarang perubahan risiko perlu dinilai semula untuk memastikan ia tidak mengakibatkan kejadian buruk yang tidak diingini. Perubahan ini kemudiannya perlu direkodkan untuk semakan lanjut bagi menambahbaik dokumen HIRARC formal yang sedia ada.

Walau apa pun kaedah yang digunakan, pastinya amalan ini perlulah melibatkan semua pihak dan sampai kepada golongan pekerja yang melaksanakan tugas. Mereka sepatutnya terlibat dari peringkat awal pelaksanaan sehinggalah ke peringkat semakan semasa tugas dilaksanakan.

Analisa dan penambahbaikan

Di peringkat pengurusan pula pelaksanaan HIRARC mestilah sentiasa disemak bagi tujuan penambahbaikan. Setiap maklumat yang direkodkan mesti dianalisa untuk mendapatkan status prestasi pengurusan risiko di tempat kerja. Maklumat dari pelaksanaan tersebut seharusnya memberikan petunjuk kepada majikan tentang risiko yang signifikan yang harus diberikan tumpuan. Dengan ini, syarikat akan dapat menjalankan program yang bertepatan dengan keperluan untuk menjaga keselamatan pekerja sekaligus memastikan kelangsungan operasi syarikat.

Selain dari itu amalan HIRARC ini wajar diintegrasikan dengan amalan pengurusan risiko yang lain seperti pemeriksaan keselamatan dan pelaporan kemalangan. Maklumat hazad dan risiko yang ditemui dalam amalan ini mestilah disemak dalam aktiviti pemeriksaan keselamatan di tempat kerja. Ia dapat memastikan semua langkah keselamatan yang telah ditetapkan dalam HIRARC formal telah dilaksanakan dan disenggara dengan baik. Laporan siasatan kemalangan pula harus dijadikan sebagai salah satu rujukan tentang keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan dalam amalan HIRARC formal.

Hirarc System & Software Hirarc Custom System Development

Teknologi HIRARC

Tidak dinafikan bahawa integrasi antara amalan HIRARC dengan pemeriksaan tempat kerja dan pengurusan kemalangan bukan suatu yang mudah untuk dicapai. Dengan operasi syarikat yang dinamik, banyak sumber dan masa yang akan dihabiskan untuk menyenggara, kemaskini dan analisa maklumat serta data. Walaubagaimanapun dengan teknologi digital yang semakin maju, hal ini akan dapat dipermudahkankan. Penggunaan perisian secara online membolehkan maklumat hazad dan risiko dan data dikumpul dari pelbagai lokasi dan disimpan terus ke pengkalan data. Sistem notifikasi membolehkan pekerja sentiasa mendapat maklumat yang terkini tentang risiko yang bakal dihadapi serta langkah perlindungan yang perlu disediakan. Dengan fungsi analisa dalam sistem digital pula segala maklumat dan data dapat terus dianalisa untuk menghasikan statistik secara real-time.

Kesimpulannya, pengamal perlu menyemak semula segala usaha dalam penyediaan dan pelaksanaan HIRARC atau Taksiran Risiko di tempat kerja. Selain dari melaksanakanya sebagai suatu keperluan yang dituntut (Oleh client atau undang-undang), ia seharusnya benar-benar digunakan sebagai pendekatan bagi mengurangkan kecederaan dan penyakit di tempat kerja. Untuk mencapai Hasrat itu pula, pengamal wajar mengambil langkah yang lebih proaktif, memperkasa setiap proses penyedia, pantau selia, analisa dan semakan HIRARC  dari masa kesemasa secara berterusan.

Intesh Smartool - Fungsi HIRARC berserta analisa

WhatsApp Image 2020-04-26 at 2.16.02 PM

Persaingan dalam kerjaya dibidang OSH semakin sengit; Junior Vs Otai?

Persaingan sengit dalam kerjaya dibidang OSH

Cabaran dalam persaingan kerjaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Occupational Safety and Health / OSH) sebenar tidak jauh berbeza dengan bidang-bidang yang lain. Samada dalam bidang kejuruteraan mahupun bidang ekonomi, masing-masing berdepan dengan Siswazah Mengganggurpersaingan sengit. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Ini situasi sebelum pandemik covid 19 melanda seluruh dunia. Keadaan ini dijangkakan akan menjadi lebih buruk setelah ekonomi negara mendapat kesan dari wabak tersebut. Pada Mac 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menjalankan satu kajian tentang kesan pandemik ini terhadap pekerjaan di Malaysia. Kajian ini mendapati bahawa 46.6% dari 168,182 responden telah pun terkesan dari segi pendapatan mahupun status pekerjaan mereka. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia ( MIER ) pula menjangkakan 2.4 juta pekerjaan akan hilang dengan kebanyakkan pekerjaan tidak bergaji. MIER juga mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup 2.9% pada tahun ini akibat Covid-19 berbanding tahun lalu.

Pada masa sama, rekod Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung menunjukkan seramai 238,286 individu termasuk 174,327 siswazah, telah mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia.  Adakah ini menunjukkan bahawa berlaku lambakan bekalan tenaga kerja dari kalangan graduan dan berkelulusan tinggi? Ada yang berpendapat terlalu ramai yang menyertai kursus-kursus akademik dan profesional yang ditawarkan oleh institusi pengajian dan latihan. Ini dikatakan telah menyebabkan jumlah calon yang memohon untuk satu-satu kekosongan jawatan begitu tinggi dan mewujudkan persaingan sengit. Dalam konteks kerjaya OSH, ada yang yang mencadangkan agar dikurangkan tawaran program-program latihan kelayakan dan persijilan. Ini dikatakan dapat mengimbangi permintaan dan bekalan tenaga kerja dalam industri. Sekiranya digunakan justifikasi yang sama, adakah institusi pengajian sastera dan sains sosial juga harus mengurangkan tawaran program? Kerana jika merujuk statistik, lulusan jurusan ini juga merupakan golongan yang menghadapi kesukaran untuk memulakan kerjaya mereka? Sudah tentu cadangan itu tidak logik!

Kadar Pengangguran

Persaingan dengan otai?

Terdapat juga pendapat dari kalangan individu yang baru menceburi bidang OSH mengatakan bahawa; kesukaran untuk mendapatkan tempat dalam kerjaya ini adalah diakibatkan oleh pengamal yang lebih senior yang cenderung untuk bertukar kerja dan bersaing dengan mereka. Majikan pula dikatakan lebih berminat menggajikan mereka yang hanya berpengalaman untuk mengisi kekosongan jawatan pengamal OSH di syarikat mereka. Keadaan ini mengakibatkan kesukaran dikalangan individu baru menceburi bidang OSH untuk meletakkan diri mereka dalam bidang ini.

Memang tidak dinafikan hak syarikat dan kepentingan untuk mendapatkan pengamal yang berpengalaman untuk bertindak sebagai penasihat OSH ditempat kerja. Namun tanpa diberikan peluang, bagaimana pengamal-pengamal yang baru ini akan dapat menimba pengalaman? Perlu ditekankan bahawa bukan sahaja majikan, tetapi juga pengamal OSH senior perlu mengambil tanggungjawab bukan sahaja membuka peluang tetapi harus sanggup melatih dan berkongsi pengalaman dengan pengamal-pengamal baru. Berdasarkan pemerhatian penulis, ada dari kalangan pengamal baru yang telah berputus asa setelah banyak permohonan jawatannya tidak berjaya. Keadaan ini pastinya bukan sahaja merugikan individu tersebut, malah merugikan bidang Keselamatan dan Kesihatan itu sendiri. Setelah membelanjakan wang dan masa untuk mendapatkan kelayakan yang diperlukan, wajar individu yang ingin menceburi bidang OSH ini dibantu.

Walaubagaimanapun, adakah dakwaan tentang situasi persaingan antara pengamal senior dan pengamal junior ini benar? Dalam bahagian pertama artikel tentang cabaran kerjaya dalam bidang OSH, penulis telah membincangkan secara am tentang hal ini, mungkin ada benarnya. Ini kerana berdasarkan satu pemerhatian am, untuk satu kekosongan jawatan jawatan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer / SHO) di beberapa syarikat kejuruteraan, hanya 35%~40% dari permohonan merupakan calon yang baru menceburi bidang OSH (pengalaman kerja KKP yang minima). Manakala selebihnya adalah calon-calon yang sudah bekerja dan berpengalaman lebih dari 5 tahun. Tetapi adakah ia benar-benar merupakan halangan utama dalam kerjaya seorang pengamal Keselamatan dan Kesihatan? Atau kegagalan mendapatkan tempat dalam kerjaya di bidang OSH adalah berpunca dari pelbagai faktor yang lain, yang mungkin lebih signifikan?

Bertukar-tukar kerja di kalangan pengamal OSH

Bukanlah sesuatu yang baru di kalangan pengamal KKP (OSH) sering mengamalkan ‘job hopping’ atas pelbagai sebab. Walaupun ia tidak serancak dahulu, situasi bertukat tempat kerja dalam masa kurang dari dua tahun masih lagi wujud. Ini terutama di kalangan pengamal yang sudah memiliki pengalaman kerja. Banyak syarikat masih menerima permohonan jawatan bukan sahaja dari pengamal baru tetapi juga yang berpengalaman. Ada yang berbuat demikian kerana bakal tamat kontrak, ingin mendapatkan pengalaman baru dari industri berbeza atau untuk meningkatkan bayaran gaji. Walau apa jua sebab ‘job hopping’, kesan dari hal ini boleh dilihat dari sudut positif dan sudut negatif.

Safety and Health (OSH) Digital - Smartool System

Antara sudut positif adalah pastinya memberikan lebih nilai kepada pengamal KKP (OSH) dari segi gaji dan pengalaman berbeza. Selain itu, ia juga sebenarnya mencipta peluang untuk pengamal OSH yang lain mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan. Dalam masa yang sama, ini juga memberi peluang kepada syarikat untuk mendapatkan khidmat pengamal OSH dengan pengetahuan dan kebolehan berbeza. Ini akan mempelbagaikan ‘know how’ dalam amalan OSH di sesebuah syarikat.

Manakala antara sudut negatif pula, Job hopping di kalangan pengamal akan mewujudkan pandangan negatif di kalangan majikan terhadap golongan pengamal OSH. Ada rakan penulis dari kalangan staf sumber manusia (HR) yang mengatakan pengamal OSH ‘kurang setia’kepada syarikat. Ini boleh memberikan kesan kepada kerjaya pengamal OSH yang menggantikan tempatnya dari segi kepercayaan syarikat kepadanya, peluang latihan dan lain-lain. ‘Job hopping’ di kalangan senior juga sudah tentu akan mengurangkan peluang pengamal baru untuk berjaya dalam saingan jawatan yang dipohon. Dengan jumlah permohonan yang tinggi untuk satu-satu jawatan, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa berlaku ‘lambakan’ bekalan tenaga kerja pengamal OSH. Ini juga dilihat telah memberikan kesan kurang baik dalam penentuan tangga gaji bagi jawatan yang tawarkan.

Persaingan mendapatkan tempat

Tanpa mengira samada pengamal OSH yang baru atau senior, realitinya persaingan dalam kerjaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan memang semakin sengit. Pengamal perlu terus fokus dalam persaingan secara sihat dan bijak mengambil peluang untuk ‘menonjol’ dan ‘menjual diri’ dalam bidang ini. Tiada istilah ‘otai’ yang selamanya signifikan. Sepanjang penglibatan dalam kerjaya sebagai pengamal OSH, penulis telah melihat pelbagai situasi bagaimana golongan yang memulakan kerjaya lebih lewat berbanding dengan golongan ‘otai’, kini mampu ‘berdiri sama tinggi’ dengan yang lain.

Otai VS Junior - Kerjaya Safety And Health (OSH)

Apa yang penting ialah usaha dan pembelajaran secara berterusan harus ditanam dalam diri masing-masing dan dijadikan etika dalam kerjaya ini. Malah ia juga wajar diguna pakai dalam apa jua bidang pekerjaan. Persaingan kerjaya umpama perlumbaan, pengamal OSH yang memiliki lebih banyak ilmu, pengalaman dan jaringan professional akan berada di hadapan. Walaupun pada peringkat awal penglibatan, seorang pengamal OSH mungkin mempunyai pelbagai kekurangan untuk bersaing, namun tidak mustahil untuk dia memintas saingan yang lebih senior sekiranya sanggup menggandakan usaha dalam tiga perkara iaitu;

  1. Memenuhi syarat asas kelayakan (Qualify)
  2. Menimba ilmu atau / dan menambah pengalaman tanpa henti (Know how)
  3. Melebarkan jaringan profesional. (Know who)

Hanya dengan menggandakan usaha dalam tiga perkara ini (tanpa menolak bahawa rezeki dari Nya adalah penentu muktamad), maka pengamal akan mampu memintas saingan yang berada ‘di hadapan’.

Setelah satu-satu permohonan jawatan ditolak, sejauh manakah seorang pengamal sanggup menggandakan usaha ke atas tiga perkara ini tanpa putus asa? Usaha bagaimana pula yang harus digandakan? Usaha yang dilakukan perlu terancang, bijak dan fokus terhadap penambahbaikan nilai diri dan kemampuan sebagai pengamal OSH. Pastinya banyak pengorbanan harus dilakukan untuk menambah kemampuan diri kerana tiada jalan mudah untuk mencapai suatu kejayaan. Selagi anda berusaha, anda tidak akan gagal. Kegagalan adalah titik dimana sesorang itu berhenti berusaha dan mengalah.

Safety and Health (OSH) Digital - Smartool & Intesh4biz

safety and health (OSH) course - pemula kerjaya

WhatsApp Image 2020-04-26 at 2.16.02 PM (1)

Perisian Pengurusan Risiko OSH dibangunkan oleh Anak Tempatan

CYBERJAYAIntESH Solution telah membangunkan sebuah perisian atas talian (online) untuk InTESH Risk Management Softwarepengurusan risiko keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pembangunan sistem yang telah bermula sejak tahun 2015 merupakan perisian sumber terbuka (open source software) dan menggunakan laman sesawang sebagai platform applikasi. Setakat ini perisian yang dikenali sebagai SmarTool ini mempunyai tiga fungsi utama iaitu HIRARC (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control), Pemeriksaan Keselamatan Tempat Kerja serta Notifikasi Awal Kemalangan/Insiden.

Usaha pembangunan sistem ini dilihat seiring dengan revolusi industri dunia yang telah memasuki fasa ke 4 (IR 4.0). Penggunaan teknologi digital dan Internet of Things (IOT) akan terus berkembang dan menjadi amalan dalam operasi syarikat dikesemua industri.

Sistem SmarTool ini telah direka dengan bantuan pakar-pakar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dari pelbagai industri dan telah disesuaikan untuk kegunaan am untuk semua tempat kerja. Pengamal Keselamatan dan Kesihatan seperti Safety and Health officer (SHO) dan Site Safety Supervisor (SSS), boleh mendapatkan perisian ini dengan mendaftar akaun secara percuma di www.intesh.com.my. Anda boleh menggunakannya melalui komputer riba ataupun peranti mudah alih seperti telefon pintar.

Pengunaan sistem IntESH SmarTool juga dilengkapi dengan fungsi statistik dan analisa, yang mana dapat memudahkan pengguna untuk mendapatkan maklumat berkaitan data yang telah dimasukkan dalam bentuk visual seperti graf dan carta pie. Ditambah pula dengan fungsi pelaporan yang boleh dijana terus dari sistem SmarTool dan sedia untuk dicetak, sedikit sebanyak dapat memudahkan tugasan pengumpulan data, menjimatkan masa, serta membuatkan kerja-kerja audit pengguna menjadi lebih sistematik.

Selain dari Sistem SmarTool, IntESH juga menawarkan perkhidmatan pembangunan perisian komputer untuk syarikat yang berminat untuk mengubah proses kerja manual kepada sistem digital. Ketua Pembangunan Sistem, En Shaharizal menyatakan pembangunan system boleh dilakukan berdasarkan proses asal disesebuah syarikat. Oleh yang demikian syarikat tidak perlu risau tentang masalah perubahan proses, sebaliknya penggunaan perisian digital akan meningkatkan kecekapan operasi syarikat dengan proses yang lebih terkawal dan telus.

OSH Management System Development IntESH eTutor

WhatsApp Image 2020-04-26 at 2.16.01 PM (1)

Gaji Tinggi Tanpa Ijazah? Rendah Sangat Ke Standard Sijil Safety and Health Officer (SHO)?

Gaji Tinggi Tanpa Ijazah? Rendah Ke Standard Sijil SHO?

Pernah tersebar di media sosial dan banyak laman blog tentang kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan adalah di antara kerjaya yang menjanjikan gaji yang tinggi tanpa perlu ijazah. Adakah ini benar? Apakah hakikat disebalik peluang dan harapan ini?

Secara amnya, kenyataan tentang ‘gaji yang tinggi’ itu benar sekiranya ia disimpulkan berdasarkan perbandingan antara purata gaji seorang pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer / SHO) dengan purata pendapatan seorang pekerja yang baru memulakan kerjaya dengan kelulusan ijazah dari universiti tempatan. Akan tetapi, kenyataan sebegini dibimbangi akan menjerat sesiapa yang terpesona dengan peluang dan harapan sekiranya tidak mengetahui cabaran yang bakal dihadapi. Kenyataan ‘tanpa memerlukan ijazah’ boleh disalah ertikan, seolah-olah bidang ini tidak memerlukan kebolehan intelektual yang tinggi untuk diceburi. Sungguhpun keperluan minima untuk menjawat jawatan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer / SHO) ‘hanyalah’ sijil kelayakan, tetapi tahap sijil tidak boleh dilihat sebagai lebih rendah berbanding kelulusan ijazah, kerana hakikatnya ramai dari kalangan lulusan ijazah pun pernah gagal ketika menduduki peperiksaan SHO!! Oleh yang demikian, pandangan tentang kerjaya ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi adalah tidak 100% tepat kerana kenyataan itu mungkin tidak membuat perbandingan seadilnya dari segi tahap kesukaran ujian dan peperiksaan diantara kelulusan akademik dengan kelulusan professional. Penulis tidak mempunyai data yang lengkap, tetapi berdasarkan maklum balas dan pemerhatian am, sekitar 40% dari peserta (yang memberi maklum balas) yang menyertai program Persijilan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan gagal melengkapkan persijilan mereka.

Memang benar, tanpa segulung ijazah pun seseorang boleh menjawat jawatan bertaraf pegawai berkelayakan yang diiktiraf dan mendapat gaji yang secara relatifnya tinggi setara atau lebih dari seorang graduan ijazah. Namun apa yang mungkin tidak di ketahui ramai ialah untuk mendapatkan sijil lulus peperiksaan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan yang juga sama sukarnya atau lebih sukar berbanding program ijazah.

Safety And Health Officer SHO Malaysia

Kepadatan silibus dalam kursus persijilan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer / SHO) berdurasi 22 hari ini tidak seharusnya dipandang mudah oleh bakal peserta program. Silibus yang telah ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Department of Occupational safety and Health / DOSH) ini menggabungkan elemen sains sosial, sains tulin dan sains gunaan dalam satu program akan memberikan cabaran minda yang cukup getir sekiranya peserta tidak memberikan usaha yang sewajarnya dalam pembelajaran mereka. Sistem peperiksaan sijil ini pula dirangka begitu komprehensif yang melibatkan ujian bertulis secara, ujian kecekapan, penyediaan laporan tugasan di tempat kerja sebenar dan pembentangan laporan di hadapan panel yang berpengalaman luas.

Empat Modul Pembelajaran Utama Bidang Kesihatan dan Keselamatan

Empat modul utama dalam program persijilan adalah termasuk Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Perundangan Keselamatan dan Kesihatan, Kesihatan Pekerjaan dan Keselamatan Pekerjaan.

Dalam Modul pertama, Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan, peserta kursus akan diajar tentang konsep bagaimana syarikat memastikan tempat kerja bebas dah risiko kecederaan dan penyakit dengan cara mengurus operasi dan proses perniagaan mereka. Ini termasuk dengan menyediaan pelan dan perancangan, melaksanakan program-program berkaitan, mengukur pencapaian sistem pengurusan dan program dan akhir sekali secara berterusan mengambil tindakan menambah baik sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan sedia ada.

Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP)

Dalam modul kedua, Perundangan Keselamatan dan Kesihatan, peserta akan diperkenalkan dengan konsep dan struktur perundangan sebelum mempelajari dengan lebih mendalam tiga undang-undang utama yang berkaitan tentang keselamatan dan kesihatan dalam industri di negara kita iaitu; Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Petroleum (langkah-langkah keselamatan) 1984. Bagi setiap akta, terdapat pula peraturan-peraturan di bawahnya yang lebih terperinci menjelaskan keperluan undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Terdapat lebih dari 20 peraturan yang perlu dikuasai untuk membolehkan mereka menjadi penasihat kepada majikan bagi mematuhi sekala undang-undang yang terpakai untuk aktiviti perniagaan mereka.

Dalam modul ketiga, Kesihatan pekerjaan pula peserta kursus perlu mendalami sains tentang kimia, biologi dan fizik serta perkaitannya dengan risiko kesihatan dalam pekerjaan yang boleh mengakibatkan penyakit. Antara topik yang akan dipelajari termasuk toksikologi asas untuk bahan kimia berbahaya kepada kesihatan, ergonomik, bunyi bising dan perkaitannya dengan hilang upaya pendekatan, kesan haba terhadap kesihatan perkerja dan banyak lagi. Apa yang menarik, para perserta juga akan belajar tentang isu kesihatan pekerjaan dari dalam konteks psikososial yang membincangkan isu-isu seperti bebanan kerja dan kesannya terhadap kesihatan pekerja. Seterusnya perserta akan diterangkan tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menghapuskan atau mengurangkan semua risiko-risiko  kesihatan ini di tempat kerja.

Akhir sekali merupakan modul keempat; Keselamatan Pekerjaan yang memberikan pendedahan kepada peserta tentang hazad dan risiko kecederaan dalam operasi jentera, operasi yang melibatkan kemasukan ke dalam ruang terkurung, operasi kerja di tapak bina, operasi pengandung tekanan atau boiler dan banyak lagi.

Cabaran pembelajaran secara intensif

Kursus selama 22 hari bagi Pensijilan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan ini boleh dihadiri secara pembelajaran sepenuh masa atau separuh masa bergantung kepada kesesuaian seseorang peserta. Setakat ini majoriti peserta yang hadir merupakan golongan yang telah bekerja dalam bidang keselamatan dan kesihatan mahupun bidang yang berbeza. Mungkin bagi mereka yang telah pun terlibat dalam hal-hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan, proses pembelajaran akan lebih mudah berbanding dengan mereka yang datang dari berlainan bidang, namun cabaran untuk memperuntukkan masa bagi tujuan ulangkaji dan persediaan peperiksaan tetap sama dirasai.

Kursus SHO IntESH

Memandangkan program 22 hari ini melibatkan silibus pembelajaran yang padat dan intensif ramai peserta mendapati bahawa pembelajaran dalam kelas sahaja tidak memadai. Oleh itu kebanyakan peserta perlu memperuntukan masa bagi tujuan ulangkaji dan persediaan peperiksaan. Bagi mereka yang terikat dengan komitmen kerja dan keluarga sudah tentu ini merupakan satu lagi cabaran yang hari ditempuhi. Rata-rata peserta yang telah berjaya lulus dalam peperiksaan ini telah berkongsi bagaimana mereka mengorbankan banyak masa untuk memastikan mereka lulus cemerlang dengan cara menyertai bengkel-bengkel peperiksaan dan ulangkaji secara atas talian.

Lulus peperiksaan Sijil Pegawai Keselamatan dan Kesihatan

Menyedari cabaran untuk lulus empat kertas peperiksaan Sijil Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) bukanlah suatu yang mudah, IntESH telah menawarkan pelbagai program bagi membantu para calon untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki. Terdapat pelbagai pilihan dan pakej persediaan peperiksaan seperti sistem ulangkaji secara atas talian (online) melalui perisian web eTutor, Bengkel Peperiksaan menjawab kertas 1, Bengkel Peperiksaan menjawab kertas 2, Bengkel Peperiksaan penyediaan dan pembentangan laporan tugasan tempat kerja (WPA / Kertas 4), tuisyen (malam) menjawab soalan esei dan kertas 3.

Perisian Untuk Peperiksaan SHO E-tutor

Kesimpulan

Secara kesimpulan, menceburi kerjaya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan memang menjanjikan pendapatan yang lumayan (secara relatif). Akan tetapi pendapatan yang tinggi pastinya datang bersama tuntutan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang juga secara relatifnya tidak mudah. Dalam artikel ini penulis sekadar membincangkan tentang cabaran untuk mendapatkan sijil lulus bagi kelayakan menjadi seorang Pegawai Keselamatan dan Kesihatan. Dalam artikel seterusnya penulis akan membincangkan cabaran yang lain pula termasuk persaingan kerjaya dan cabaran melaksanakan tugas dan kewajipan sebagai pengamal keselamatan dan kesihatan dalam industri.

WhatsApp Image 2020-04-26 at 2.16.01 PM

Cabaran dan Peluang Kerjaya Sebelum, Ketika dan Selepas Pandemik Covid-19

Cabaran kerjaya dibidang OSH sentiasa berkembang

Kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) yang dahulunya terpencil, kini semakin signifikan dan berkembang dalam industri negara yang pelbagai. Sealiran dengan perkembangan ini, cabaran yang dihadapi oleh para pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) juga dikatakan turut meningkat dari hari ke sehari. Cabaran dalam kerjaya ini terus berkembang dalam dua konteks utama iaitu cabaran dalam menggalas tanggungjawab yang semakin meluas, dan cabaran dalam persaingan kerjaya yang semakin sengit.

Peranan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan Covid-19

Dengan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, secara langsung telah mewujudkan cabaran baru dalam kedua-dua konteks ini. Kita dapat saksikan sejak berlaku penularan wabak covid-19, banyak syarikat yang bergelut dengan kesukaran dan kebimbangan untuk meneruskan perniagaan sewaktu atau setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara. Ramai dari kalangan pengamal kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP) turut terlibat bersama-sama dengan pengurusan syarikat dalam menangani situasi sukar ini terutamanya syarikat yang ingin terus beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI), telahpun mengeluarkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Garis Panduan Am bagi Kebenaran Beroperasi Bagi Syarikat-Syarikat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam SOP ini jelas menetapkan tanggungjawab syarikat untuk melantik penyelaras yang sebaiknya terdiri dari kalangan pengamal kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP) untuk membantu syarikat dalam menyelaras usaha pencegahan wabak Covid-19 di tempat kerja.

Perkara 16. Syarikat hendaklah melantik seorang atau lebih penyelaras bagi membuat penyelarasan langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 di tempat kerja. Sebaiknya penyelaras hendaklah terdiri daripada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan (OSH-C) atau Penyelia Tapak Bina (SSS) yang berdaftar atau tersenarai dalam daftar Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), atau Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja. Penyelaras yang dilantik hendaklah melaporkan status pematuhan syarat-syarat kebenaran beroperasi yang ditetapkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) .

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI)Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

Sungguhpun  perkara ini dilihat sebagai suatu bentuk pengiktirafan kepada para pengamal dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan, namun ia juga harus dilihat sebagai suatu bentuk cabaran baru yang tidak boleh dipandang ringan. Situasi yang dihadapi bukanlah suatu perkara yang biasa, pandemic sebegini tidak berlaku setiap abad! Oleh yang demikian, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika sebahagian besar pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) tidak mempunyai pengetahuan luas dan kurang berpengalaman dalam menangani situasi pandemik. Oleh itu ia merupakan satu cabaran baru yang dihadapi oleh ramai di seluruh negara pada waktu ini.

Dalam menghadapi kesukaran untuk membantu majikan untuk menasihati tentang langkah-langkah pencegahan penularan wabak di tempat kerja, mujur di negara kita selain dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi-agensi lain termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) turut berganding bahu bersama-sama membendung penularan covid-19 dari terus menjejaskan kesejahteraan negara.

Pada awal Mac 2020, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan Arahan Pematuhan Kepada Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 Berkaitan Langkah Langkah Pencegahan Terhadap Wabak Jangkitan Coronavirus. Manakala Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Langkah Pencegahan Covid-19 Di Tapak Bina. Beberapa agensi kerajaan yang lain juga telah mengeluarkan garis panduan yang serupa bagi industri yang berbeza. Langkah yang disenaraikan dalam arahan dan garis panduan tersebut sebanyak memberikan panduan atau pencetus idea kepada para pengamal untuk menjalankan tugas mereka sebagai penasihat kepada majikan.

Digital Software

Selain dari SOP dan panduan oleh agensi kerajaan Malaysia, para pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) turut disarankan agar mendapatkan maklumat dari sumber yang sah dari badan-badan dunia seperti World Health Organisation (WHO) dan Centre for Disease Control and Prevention (CDC). Mereka juga harus mengambil peluang dari perkongsian oleh badan-badan NGO di negara kita dan individu pengamal dilihat turut memberikan sumbangan dalam bentuk nasihat dan perkongsian ilmu di media sosial. Dengan ini sekurang-kurangnya pengamal mempunyai sumber rujukan untuk diadaptasi ke dalam proses dan prosedur di tempat kerja dalam pelbagai bentuk seperti bentuk Pelan Kelangsungan Perniagaan (Business Continuity Plan) atau Pelan Tindakan Pandemik.

Dalam musibah pandemik covid-19 yang melanda dunia ini, pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) perlu terlibat secara aktif bersama-sama dengan syarikat, agensi kerajaan dan seluruh warga dunia umumnya untuk membendung penyebaran dan menangani situasi ini. Bukan sahaja ia memberikan pengalaman berharga kepada pengamal malah membuka jalan untuk menimba lebih banyak ilmu serta jaringan kerjasama dengan banyak pihak yang pastinya memberi manafaat kepada kerjaya mereka dalam bidang ini.

Penglibatan aktif pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam usaha membendung pandemik akan memberi manfaat besar terhadap kerjaya mereka. Sebagai contoh penglibatan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam membangunkan dan melaksanakan Pelan Kelangsungan Perniagaan (Business Continuity Plan) memberi perspektif baru kepada sesetengah pengamal tentang fungsi mereka sebagai penasihat professional dalam organisasi. Sudah tentu tanggungjawab ini memerlukan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk mengkaji amalan dan standard yang berbeza seperti ISO 22301 (Business continuity management systems). Selain itu, pengamal juga perlu menjalinkan bekerjasama lebih rapat dengan pengamal OSH dari pelbagai disiplin seperti doktor pekerjaan untuk mendapatkan input yang lebih bernilai. Oleh yang demikian, jelas bahawa penglibatan aktif dalam menjalankan tugas tugas sebagai seorang pengamal OSH akan memberi lebih pendedahan kepada medan ilmu dan jaringan hubungan professional yang lebih luas.

pegawai kesihatan dan keselamatan pekerja (KKP)

Cabaran Kerjaya Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan Covid-19

Cabaran dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari konteks peluang dan persaingan kerjaya pula dilihat akan juga terkesan oleh pandemik covid-19 berikutan impaknya terhadap ekonomi dunia yang telah banyak dibincangkan dan mula menimbulkan keresahan banyak pihak. Pada peringkat ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat telah merencatkan aktiviti perniagaan dikebanyakan industri di seluruh negara. Kesan pada ekonomi seterusnya pula dijangkakan tidak dapat dipulih dengan kadar yang segera. Oleh yang demikian kerajaan baru-baru ini telah mengambil langkah dengan melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada anda semua. Pelan ini sebenarnya bukan sekadar bertujuan untuk membantu rakyat mengharungi situasi yang sukar tetapi juga bagi memastikan kesan negatif dari pandemik terhadap pertumbuhan ekonomi negara dapat dikurangkan agar pemulihan segera dapat dicapai. Sekiranya pemulihan ekonomi ini mengambil jangkamasa yang panjang, ia mungkin mengakibatkan permintaan terhadap sokongan dan kerjaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) juga terjejas. Kesan ini akan mula dirasai terutamanya mereka yang bekerja secara freelance atau kontrak terhad seperti di pusat-pusat latihan dan projek-projek pembinaan.

Oleh yang demikian Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) seharusnya lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang dengan mempersiapkan diri untuk bersaing dan mengembangkan kerjaya masing-masing. Persediaan yang perlu dilakukan bukan sekadar memperkasa ilmu dan pengetahuan, malah jaringan professional juga mesti diperluaskan.  (Hal ini akan dibincangankan dalam bahagian seterusnya. Know How vs Know Who)

Sekiranya kita cuba melihat dari sudut yang positif pula, wabak covid-19 ini mungkin telah membuka satu laluan baru kepada para pengamal untuk kekal signifikan dalam organisasi syarikat. Seperti yang telah dibincangkan tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kebenaran untuk syarikat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Dalam SOP ini jelas menetapkan tanggungjawab syarikat untuk melantik penyelaras yang sebaiknya terdiri dari kalangan pengamal untuk membantu syarikat dalam menyelaras usaha pencegahan wabak Covid-19 di tempat kerja. Syarikat yang terlibat pastinya mengambil serius hal ini demi memastikan kelangsungan operasi di syarikat mereka, sekaligus ini memberikan .

Dalam satu mutiara kata ‘setiap kali cabaran melanda, peluang pasti tersedia’, untuk menghadapi cabaran ini pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) perlu sentiasa bersikap positif dan bersedia untuk melakukan apa yang perlu. Memang tidak dinafikan persaingan kerjaya akan menjadi lebih sengit dalam proses pemulihan ekonomi kelak, tetapi kita tidak boleh sekadar meratapi dan mengeluh dengan cabaran yang datang, sebaliknya mula membentuk perancangan untuk menghadapinya dengan cara terbaik.

safety and health (SHO)

Kerjaya Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) sebelum Covid-19

Perlu diakui bahawa sebelum pandemik Covid-19 berlaku pun, isu peluang dan persaingan kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) telah pun bermula. Kita telah mendengar rungutan dari sesetengah pengamal tentang persaingan dalam peluang kerjaya yang semakin sengit, ada juga yang menyuarakan tawaran gaji tidak memenuhi harapan mereka. Khabar mengatakan bekalan tenaga kerja Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) telah mula berlaku, lambakan berbanding dengan permintaan. Adakah ini benar? (hal ini akan dibincangkan dalam bahagian seterusnya – Otai vs Junior) Jika ini betul-betul berlaku, maka pandemic covid-19 ini pula dijangka akan menambah parah situasi sedia ada.

Banyak maklum balas dari individu yang baru menceburi kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) menyatakan mereka berhadapan dengan kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan disebabkan saingan yang semakin ramai serta kehendak majikan yang dikatakan lebih memilih untuk mendapatkan khidmat mereka yang berpengalaman. Persoalan timbul, mana mungkin mereka dapat menimba pengalaman tanpa dibukakan peluang. Umpama pertelingkahan ‘ayam dengan telur’, yang mana perlu didahulukan?

Dalam pada itu terdapat juga maklum balas yang berbeza, dilihat perpindahan kerjaya dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain (job hopping) dalam jangkamasa yang singkat masih berlaku di kalangan pengamal. Ini mungkin petanda bahawa dakwaan tentang bekalan tenaga kerja melebihi permintaan adalah tidak begitu tepat. Mungkin bukan sekadar kuantiti bekalan tenaga kerja Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang menjadi isu, sebaliknya kualiti bekalan tenaga kerja ini juga harus diberikan perhatian.

Langkah kerajaan dalam usaha untuk meningkatan bilangan dan kualiti Pengamal dipelbagai sektor diharap akan dapat membantu para pengamal untuk mengembangkan kerjaya mereka tanpa mengira samada mereka yang baru menceburi mahupun yang telah lama berkhidmat. Walaupun belum menampakkan impak yang signifikan, kita yakin bahawa ia pasti akan dapat dicapai dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak. Sebagi contoh, melalui pelan strategik yang dirangka oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), IKS disarankan melantik sekurang-kurangnya seorang pekerja sebagai wakil pekilang (Occupational Safety and Health Coordinator – OSH-OC) yang menguruskan hal-ehwal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Ini memberi peluang kepada mereka yang ingin memulakan kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) pada peringkat asas.

pegawai keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP) 2

Cabaran sentiasa mendatang selagi kita hidup

Kesimpulannya, apa juga cabaran yang datang dalam kerjaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) atau Occupational Safety and Health (OSH) ini pasti ada jalan untuk menghadapinya. Cabaran yang datang biasanya tidak sekadar memberi tekanan sebaliknya membuka peluang kearah sesuatu yang lebih baik atau sekurang-kurangnya setara. Seorang pengamal yang berpotensi akan sentiasa melihat cabaran sebagai suatu laluan untuk berjaya, hanya satu cara untuk menghadapi cabaran iaitu menempuhi dengan segala daya usaha.

Intesh smartool promo

WhatsApp Image 2020-03-23 at 10.39.43 AM

Pandemik Covid-19 membuktikan setiap perniagaan memerlukan pelan kesinambungan perniagaan

Pelan Kesinambungan Perniagaan (Business Continuity Plan) – 4 elemen asas

Pandemik Covid-19

Akibat dari pandemik coronavirus (covid-19) yang melanda dunia kini, kita dapat menyaksikan ada organisasi yang tidak mempunyai pelan kesinambungan perniagaan, bergelut dengan situasi dan cuba meneruskan perniagaan dalam keadaan sekatan pergerakan yang dikenakan di seluruh negara. Apabila ini berlaku, banyak pihak yang mengecam tindakan sesetengah organisasi yang dilihat mengabaikan arahan untuk bersama-sama menentang wabak ini dari terus berleluasa. Malah sudah ada syarikat pembinaan yang dikenakan tindakan kerana ingkar akan arahan sekatan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Dalam masa yang sama, kita juga telah menyaksikan bagaimana sesebuah perniagaan menghadapi situasi dimana salah seorang pekerja mereka dijangkiti virus covid19. Lalu tindakan segera diambil termasuk langkah pembasmian kuman dilakukan sebelum beroperasi semula.

Pelan Kesinambungan Perniagaan

Pandemik Covid-19 membuktikan setiap perniagaan memerlukan pelan kesinambungan perniagaan (Busines Continuity Plan)

Di sini kami tidak membincangkan sebarang persetujuan atau tidak setuju dengan tindakan mereka ini. Tanpa memahami objektif operasi mereka, tidak mungkin kami boleh membuat penghakiman atas tindakan yang mereka lakukan. Mungkin operasi mereka merupakan operasi keperluan bagi kelangsungan hidup rakyat, atau sekadar mengaut keuntungan dari situasi ini. Atau mungkin keputusan melaksanakan operasi tersebut dibuat atas dasar mengurangkan impak kerugian serta memastikan kelangsungan perniagaan syarikat walaupun selepas wabak (covid-19). Bayangkan sekiranya operasi syarikat bergantung penuh terhadap bahan mentah yang tidak boleh disimpan lama, kegagalan meneruskan operasi akan mengakibatkan kerugian yang besar sehingga boleh menyebabkan syarikat gulung tikar. Bagaimana dengan pekerja-pekerja mereka selepas berakhirnya wabak ini? Bencana ekonomi pula mungkin akan melanda. Ini sekadar contoh yang boleh difikirkan.

Apa yang penting disini ialah untuk menyatakan bahawa sebenarnya terdapat kaedah bagaimana majikan dan pemilik perniagaan boleh meminimumkan masa pemulihan dan mengurangkan kerugian perniagaan selepas berakhirnya wabak. Dengan ini majikan tidak akan gusar sekiranya perniagaan mereka terpaksa ditutup (sepenuhnya atau sebahagian) akibat penularan wabak penyakit. kaedah ini dipanggil Pelan Kesinambungan Perniagaan yang menetapkan bagaimana sesebuah organisasi bersedia untuk pandemik dan terus beroperasi selepas bencana. Selain dari memastikan kelangsungan dan meminimakan impak terhadap perniagaan, pelan ini juga membantu usaha pihak berkuasa melaksanakan langkah membendung kemerebakan wabak dari menjadi tidak terkawal.

Covid-19

Bagaimana Pelan Kesinambungan Perniagaan diwujudkan?

Terdapat pelbagai pendekatan yang sering digunakan oleh organisasi yang bersiap sedia menghadapi pandemik terutamanya Covid-19. Paling umum Pelan Kesinambungan Perniagaan biasanya memasukkan 4 elemen utama :

  • Pelan pengurusan risiko – Mengenal pasti risiko, menilai kesan risiko dan membangunkan strategi untuk menguruskan risiko kepada perniagaan semasa pandemik. Ia boleh merupakan sebahagian dari proses atau sistem pengurusan risiko yang umumnya diadakan dikebanyakan perniagaan.
  • Analisis kesan perniagaan – merupakan elemen unik dalam pelan kesinambungan perniagaan yang secara khusus mengenal pasti aktiviti yang penting untuk kelangsungan perniagaan yang boleh terjejas akibat pandemik dan memberi keutamaan kepada apa yang perlu dilakukan untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan apabila berlaku pandemik.
  • Pelan tindakan insiden – menggariskan tindakan untuk menghadkan kemudaratan sekiranya wujud potensi kontak atau jangkitan.
  • Pelan pemulihan – bertujuan memendekkan masa pemulihan dan meminimumkan kerugian perniagaan berikutan pandemik. Ia menetapkan langkah teras yang perlu dilaksanakan untuk menyambung semula operasi serta langkah seterusnya untuk mencapai operasi perniagaan normal.

Sebagai sebahagian daripada perancangan sebuah pelan kesinambungan perniagaan, berikut merupakan antara proses yang perlu dilaksanakan (tidak terhad kepada):

  • Mengenal pasti operasi teras, dan apa yang diperlukan untuk mengekalkan rantaian bekalan dan proses
  • Mengenal pasti pengaturan kakitangan ketika pandemik, seperti perancangan penggantian dan lintas kemahiran
  • Memastikan perlindungan kesihatan kakitangan dan orang lain
  • Menetapkan strategi komunikasi maklumat untuk pekerja, pelanggan dan pembekal
  • Mempertimbangkan implikasi kewangan, seperti aliran tunai, kenaikan kos dan insurans
  • Mengenal pasti pelan kontingensi untuk yang tidak dijangka
  • Menguji pelan dan menambahbaik pelan sedia ada