Adakah pelaksanaan HIRARC di tempat kerja sekadar ritual

Pengenalan HIRARC

HIRARC adalah singkatan daripada Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control merupakan salah satu pendekatan dalam pengurusan risiko yang khusus bagi risiko keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Penggunaannya khusus untuk mengkaji punca-punca yang boleh mengakibatkan kecederaan dan penyakit di kalangan pekerja akibat dari operasi syarikat. Melalui pelaksanaan HIRARC juga, langkah kawalan yang bersesuaian akan dikenalpasti bagi menghapuskan atau mengurangkan kadar risiko yang dihadapi oleh pekerja. Di sesetengah syarikat, penggunaannya telah diperluaskan kepada pengurusan risiko yang lain seperti pengurusan risiko alam sekitar dan sekuriti. HIRARC turut disebut sebagai Risk Assessment terutamanya dikalangan syarikat yang beribu pejabat dari benua Eropah yang kurang menggunakan terma HIRARC.

Kewajipan melaksanakan HIRARC di tempat kerja

Belum ada perkataan HIRARC dalam undang-undang statut di Malaysia yang tertulis secara spesifik menuntut majikan agar melaksanakannya di tempat kerja. Hanya dua taksiran risiko yang diwartakan sebagai peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 94). Dua taksiran risiko ini hanya merangkumi aspek bahan kimia berbahaya kepada kesihatan dan pendedahan pekerja terhadap bunyi bising. Walaubagaimanapun satu garispanduan telah dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebagai panduan kepada industri untuk pelaksanaan Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control di tempat kerja

Sungguhpun tidak ditulis secara jelas dalam undang-undang, kita telah melihat beberapa syarikat dikenakan tindakan mahkamah kerana gagal mengadakan taksiran risiko. Bagaimana hukuman ini boleh disabitkan tanpa peruntukan jelas dalam undang-undang jenayah?

Mengambil langkah setakat praktik bagi mencegah kemalangan merupakan tuntutan yang paling asas dalam peruntukan OSHA 94. Menarik tentang peruntukan ini, terdapat empat elemen dalam menentukan samada majikan telah mengambil langkah yang praktik ataupun tidak. Salah satu dari elemen tersebut merupakan pengetahuan tentang bahaya dan risiko dan pengetahuan tentang cara menghapuskan bahaya atau mengurangkan risiko.

Implikasi undang-undang

Akibat dari suatu kemalangan, majikan boleh didakwa sekira didapati gagal mengambil langkah yang praktik bagi mencegah kemalangan tersebut. Di mahkamah, majikan perlu membuktikan bahawa; dia telah berusaha mencegah kemalangan tersebut dengan mengenalpasti bahaya dan risiko dalam operasi. Majikan juga perlu membuktikan bahawa dia telah mememikirkan dan melaksanakan langkah bagi menghapuskan bahaya atau mengurangkan risiko. Melainkan majikan boleh membuktikan dia telah menggunakan kaedah lain yang lebih baik, HIRARC (sebagaimana garis panduan JKKP) dikira sebagai kaedah yang praktik bagi mengenalpasti hazad dan mengawal risiko bagi mengelak kemalangan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah ramai majikan yang gagal melaksanakan HIRARC telah dihukum di mahkamah apabila berlaku kemalangan di tempat kerja.

Mengapa pelaksanaan HIRARC sering gagal di tempat kerja

Sudahkah HIRARC diamalkan di tempat kerja anda? HIRARC yang dilaksanakan dengan baik dapat mencegah kemalangan dan penyakit di tempat kerja. Malangnya dari pemerhatian dan pengalaman penulis, banyak kemalangan yang berlaku berpunca dari hazad yang telah pun dinyatakan dalam dokumen tersebut. Adakah Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control ini benar-benar boleh mencegah kemalangan? Dimana silapnya?

Berdasarkan pemerhatian, amalan ini disesetengah tempat kerja tidak dilaksanakan dengan kaedah yang betul dan tidak menerapkan nilai-nilai sebenar . Ada syarikat yang menyediakan HIRARC sekadar helaian kertas untuk tujuan permohonan Permit To Work (PTW) atau untuk ditunjukkan kepada Auditor. Selain dari tujuan tersebut, dokumen tersebut akan disimpan di dalam fail (hardcopy) atau dalam computer (softcopy).

Mungkin pada peringkat awal ketika mula memperkenalkan amalan HIRARC, kita terlalu tertumpu kepada pencapaian dari aspek jumlah yang dilaksanakan. Ia telah mengakibatkan amalan menyediakan dokumen ini di sesetengah syarikat tidak lebih dari sekadar ritual tanpa memahami nilai sebenarnya.

Ia sepatutnya bukan sahaja disediakan sebagai persediaan awal sebelum sesuatu kerja dijalankan atau permohonan untuk kebenaran bekerja. Dokumen HIRARC yang telah dilulus seharusnya digunapakai secara aktif  dalam operasi termasuk sebagai rujukan untuk taklimat dan pemantauan kerja.

Formal Risk Assessment dan Dynamic Risk Assessment

Untuk memastikan HIRARC dilaksanakan dengan betul bagi mencegah kemalangan di tempat kerja, ia seharusnya diamalkan dalam dua bentuk iaitu HIRARC Formal (Formal Risk Assessment) dan HIRARC Dinamik (Dynamic Risk Assessment)

HIRARC Formal (Formal Risk Assessment)

Formal Risk Assessment merupakan amalan pengurusan risiko yang paling banyak diamalkan di tempat kerja. Garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH/JKKP) menjelaskan langkah-langkah pelaksanaan HIRARC secara formal dan teratur. Di tempat kerja, HIRARC formal dilaksanakan oleh individu yang paling mahir tentang skop kerja yang terlibat. Amalan ini menghasilkan suatu dokumen yang menyenaraikan semua hazad, risiko serta langkah kawalannya yang terpakai untuk sesuatu kerja. Dokumen tersebut seharusnya disemak dan diluluskan oleh pegawai atau ketua Jabatan atau syarikat yang terbabit. Dengan amalan ini, semua pihak akan terlibat samada menyedia, menyemak dan meluluskan langkah kerja dan kawalan risiko yang akan dilaksanakan. Amalan ini juga akan menghasilkan dokumen yang bakal menjadi panduan dan rujukan untuk menghasilkan prosedur kerja selamat.

HIRARC Dinamik (Dynamic Risk Assessment)

Bentuk taksiran risiko dinamik pula merupakan kesinambungan dari pelaksanaan taksiran risiko formal. Dokumen HIRARC formal yang disiapkan akan disemak semula di stesen kerja sebelum pelaksanaan tugas. Semasa membuat semakan, pekerja akan melihat sekiranya terdapat perbezaan antara risiko yang tercatat dengan keadaan sebenar di stesen kerja. Disesetengah syarikat, taksiran risiko dinamik melibatkan penggunaan senarai semak yang dihasilkan berdasarkan dokumen HIRARC formal. Senarai semak ini akan menyenaraikan langkah-langkah yang telah ditetapkan dalam HIRARC formal yang perlu dipastikan ada sebelum sesuatu tugas dijalankan. Kaedah ini lebih sesuai kerana memudahkan pekerja memastikan segala yang perlu untuk keselamatan telah disediakan sebelum memulakan tugas.

Semasa kerja berlangsung, sebarang perubahan risiko perlu dinilai semula untuk memastikan ia tidak mengakibatkan kejadian buruk yang tidak diingini. Perubahan ini kemudiannya perlu direkodkan untuk semakan lanjut bagi menambahbaik dokumen HIRARC formal yang sedia ada.

Walau apa pun kaedah yang digunakan, pastinya amalan ini perlulah melibatkan semua pihak dan sampai kepada golongan pekerja yang melaksanakan tugas. Mereka sepatutnya terlibat dari peringkat awal pelaksanaan sehinggalah ke peringkat semakan semasa tugas dilaksanakan.

Analisa dan penambahbaikan

Di peringkat pengurusan pula pelaksanaan HIRARC mestilah sentiasa disemak bagi tujuan penambahbaikan. Setiap maklumat yang direkodkan mesti dianalisa untuk mendapatkan status prestasi pengurusan risiko di tempat kerja. Maklumat dari pelaksanaan tersebut seharusnya memberikan petunjuk kepada majikan tentang risiko yang signifikan yang harus diberikan tumpuan. Dengan ini, syarikat akan dapat menjalankan program yang bertepatan dengan keperluan untuk menjaga keselamatan pekerja sekaligus memastikan kelangsungan operasi syarikat.

Selain dari itu amalan HIRARC ini wajar diintegrasikan dengan amalan pengurusan risiko yang lain seperti pemeriksaan keselamatan dan pelaporan kemalangan. Maklumat hazad dan risiko yang ditemui dalam amalan ini mestilah disemak dalam aktiviti pemeriksaan keselamatan di tempat kerja. Ia dapat memastikan semua langkah keselamatan yang telah ditetapkan dalam HIRARC formal telah dilaksanakan dan disenggara dengan baik. Laporan siasatan kemalangan pula harus dijadikan sebagai salah satu rujukan tentang keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan dalam amalan HIRARC formal.

Teknologi HIRARC

Tidak dinafikan bahawa integrasi antara amalan HIRARC dengan pemeriksaan tempat kerja dan pengurusan kemalangan bukan suatu yang mudah untuk dicapai. Dengan operasi syarikat yang dinamik, banyak sumber dan masa yang akan dihabiskan untuk menyenggara, kemaskini dan analisa maklumat serta data. Walaubagaimanapun dengan teknologi digital yang semakin maju, hal ini akan dapat dipermudahkankan. Penggunaan perisian secara online membolehkan maklumat hazad dan risiko dan data dikumpul dari pelbagai lokasi dan disimpan terus ke pengkalan data. Sistem notifikasi membolehkan pekerja sentiasa mendapat maklumat yang terkini tentang risiko yang bakal dihadapi serta langkah perlindungan yang perlu disediakan. Dengan fungsi analisa dalam sistem digital pula segala maklumat dan data dapat terus dianalisa untuk menghasikan statistik secara real-time.

Kesimpulannya, pengamal perlu menyemak semula segala usaha dalam penyediaan dan pelaksanaan HIRARC atau Taksiran Risiko di tempat kerja. Selain dari melaksanakanya sebagai suatu keperluan yang dituntut (Oleh client atau undang-undang), ia seharusnya benar-benar digunakan sebagai pendekatan bagi mengurangkan kecederaan dan penyakit di tempat kerja. Untuk mencapai Hasrat itu pula, pengamal wajar mengambil langkah yang lebih proaktif, memperkasa setiap proses penyedia, pantau selia, analisa dan semakan HIRARC  dari masa kesemasa secara berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *