Gaji tinggi tanpa ijazah, rendah sangat ke standard sijil Safety and Health Officer?

Gaji Tinggi Tanpa Ijazah? Rendah Ke Standard Sijil SHO?

Pernah tersebar di media sosial dan banyak laman blog tentang kerjaya dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan adalah di antara kerjaya yang menjanjikan gaji yang tinggi tanpa perlu ijazah. Adakah ini benar? Apakah hakikat disebalik peluang dan harapan ini?

Secara amnya, kenyataan tentang ‘gaji yang tinggi’ itu benar sekiranya ia disimpulkan berdasarkan perbandingan antara purata gaji seorang pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer/SHO) dengan purata pendapatan seorang pekerja yang baru memulakan kerjaya dengan kelulusan ijazah dari universiti tempatan. Akan tetapi, kenyataan sebegini dibimbangi akan menjerat sesiapa yang terpesona dengan peluang dan harapan sekiranya tidak mengetahui cabaran yang bakal dihadapi. Kenyataan ‘tanpa memerlukan ijazah’ boleh disalah ertikan, seolah-olah bidang ini tidak memerlukan kebolehan intelektual yang tinggi untuk diceburi. Sungguhpun keperluan minima untuk menjawat jawatan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer / SHO) ‘hanyalah’ sijil kelayakan, tetapi tahap sijil tidak boleh dilihat sebagai lebih rendah berbanding kelulusan ijazah, kerana hakikatnya ramai dari kalangan lulusan ijazah pun pernah gagal ketika menduduki peperiksaan SHO!! Oleh yang demikian, pandangan tentang kerjaya ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi adalah tidak 100% tepat kerana kenyataan itu mungkin tidak membuat perbandingan seadilnya dari segi tahap kesukaran ujian dan peperiksaan diantara kelulusan akademik dengan kelulusan professional.

Penulis tidak mempunyai data yang lengkap, tetapi berdasarkan maklum balas dan pemerhatian am, sekitar 40% dari peserta (yang memberi maklum balas) yang menyertai program Persijilan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan gagal melengkapkan persijilan mereka.

Memang benar, tanpa segulung ijazah pun seseorang boleh menjawat jawatan bertaraf pegawai berkelayakan yang diiktiraf dan mendapat gaji yang secara relatifnya tinggi setara atau lebih dari seorang graduan ijazah. Namun apa yang mungkin tidak di ketahui ramai ialah untuk mendapatkan sijil lulus peperiksaan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan yang juga sama sukarnya atau lebih sukar berbanding program ijazah.

Kepadatan silibus dalam kursus persijilan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer / SHO) berdurasi 22 hari ini tidak seharusnya dipandang mudah oleh bakal peserta program. Silibus yang telah ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Department of Occupational safety and Health/ DOSH) ini menggabungkan elemen sains sosial, sains tulin dan sains gunaan dalam satu program akan memberikan cabaran minda yang cukup getir sekiranya peserta tidak memberikan usaha yang sewajarnya dalam pembelajaran mereka. Sistem peperiksaan sijil ini pula dirangka begitu komprehensif yang melibatkan ujian bertulis secara, ujian kecekapan, penyediaan laporan tugasan di tempat kerja sebenar dan pembentangan laporan di hadapan panel yang berpengalaman luas.

Empat Modul Pembelajaran Utama Bidang Kesihatan dan Keselamatan

Empat modul utama dalam program persijilan adalah termasuk Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Perundangan Keselamatan dan Kesihatan, Kesihatan Pekerjaan dan Keselamatan Pekerjaan.

Dalam Modul pertama, Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan, peserta kursus akan diajar tentang konsep bagaimana syarikat memastikan tempat kerja bebas dah risiko kecederaan dan penyakit dengan cara mengurus operasi dan proses perniagaan mereka. Ini termasuk dengan menyediaan pelan dan perancangan, melaksanakan program-program berkaitan, mengukur pencapaian sistem pengurusan dan program dan akhir sekali secara berterusan mengambil tindakan menambah baik sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan sedia ada.

Dalam modul kedua, Perundangan Keselamatan dan Kesihatan, peserta akan diperkenalkan dengan konsep dan struktur perundangan sebelum mempelajari dengan lebih mendalam tiga undang-undang utama yang berkaitan tentang keselamatan dan kesihatan dalam industri di negara kita iaitu; Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Petroleum (langkah-langkah keselamatan) 1984. Bagi setiap akta, terdapat pula peraturan-peraturan di bawahnya yang lebih terperinci menjelaskan keperluan undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Terdapat lebih dari 20 peraturan yang perlu dikuasai untuk membolehkan mereka menjadi penasihat kepada majikan bagi mematuhi sekala undang-undang yang terpakai untuk aktiviti perniagaan mereka.

Dalam modul ketiga, Kesihatan pekerjaan pula peserta kursus perlu mendalami sains tentang kimia, biologi dan fizik serta perkaitannya dengan risiko kesihatan dalam pekerjaan yang boleh mengakibatkan penyakit. Antara topik yang akan dipelajari termasuk toksikologi asas untuk bahan kimia berbahaya kepada kesihatan, ergonomik, bunyi bising dan perkaitannya dengan hilang upaya pendekatan, kesan haba terhadap kesihatan perkerja dan banyak lagi. Apa yang menarik, para perserta juga akan belajar tentang isu kesihatan pekerjaan dari dalam konteks psikososial yang membincangkan isu-isu seperti bebanan kerja dan kesannya terhadap kesihatan pekerja. Seterusnya perserta akan diterangkan tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menghapuskan atau mengurangkan semua risiko-risiko  kesihatan ini di tempat kerja.

Akhir sekali merupakan modul keempat; Keselamatan Pekerjaan yang memberikan pendedahan kepada peserta tentang hazad dan risiko kecederaan dalam operasi jentera, operasi yang melibatkan kemasukan ke dalam ruang terkurung, operasi kerja di tapak bina, operasi pengandung tekanan atau boiler dan banyak lagi.

Cabaran pembelajaran secara intensif

Kursus selama 22 hari bagi Pensijilan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan ini boleh dihadiri secara pembelajaran sepenuh masa atau separuh masa bergantung kepada kesesuaian seseorang peserta. Setakat ini majoriti peserta yang hadir merupakan golongan yang telah bekerja dalam bidang keselamatan dan kesihatan mahupun bidang yang berbeza. Mungkin bagi mereka yang telah pun terlibat dalam hal-hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan, proses pembelajaran akan lebih mudah berbanding dengan mereka yang datang dari berlainan bidang, namun cabaran untuk memperuntukkan masa bagi tujuan ulangkaji dan persediaan peperiksaan tetap sama dirasai.

Memandangkan program 22 hari ini melibatkan silibus pembelajaran yang padat dan intensif ramai peserta mendapati bahawa pembelajaran dalam kelas sahaja tidak memadai. Oleh itu kebanyakan peserta perlu memperuntukan masa bagi tujuan ulangkaji dan persediaan peperiksaan. Bagi mereka yang terikat dengan komitmen kerja dan keluarga sudah tentu ini merupakan satu lagi cabaran yang hari ditempuhi. Rata-rata peserta yang telah berjaya lulus dalam peperiksaan ini telah berkongsi bagaimana mereka mengorbankan banyak masa untuk memastikan mereka lulus cemerlang dengan cara menyertai bengkel-bengkel peperiksaan dan ulangkaji secara atas talian.

Lulus peperiksaan Sijil Pegawai Keselamatan dan Kesihatan

Menyedari cabaran untuk lulus empat kertas peperiksaan Sijil Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) bukanlah suatu yang mudah, IntESH telah menawarkan pelbagai program bagi membantu para calon untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki. Terdapat pelbagai pilihan dan pakej persediaan peperiksaan seperti

  • sistem ulangkaji secara atas talian (online) melalui perisian web eTutor,
  • Bengkel Peperiksaan menjawab kertas 1,
  • Bengkel Peperiksaan menjawab kertas 2,
  • Bengkel Peperiksaan penyediaan dan pembentangan laporan tugasan tempat kerja (WPA / Kertas 4),
  • tuisyen (malam) menjawab soalan esei dan
  • kertas 3.

Kesimpulan

Secara kesimpulan, menceburi kerjaya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan memang menjanjikan pendapatan yang lumayan (secara relatif). Akan tetapi pendapatan yang tinggi pastinya datang bersama tuntutan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang juga secara relatifnya tidak mudah. Dalam artikel ini penulis sekadar membincangkan tentang cabaran untuk mendapatkan sijil lulus bagi kelayakan menjadi seorang Pegawai Keselamatan dan Kesihatan. Dalam artikel seterusnya penulis akan membincangkan cabaran yang lain pula termasuk persaingan kerjaya dan cabaran melaksanakan tugas dan kewajipan sebagai pengamal keselamatan dan kesihatan dalam industri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *