Pemeriksaan keselamatan berjaya mengurangkan kemalangan

Di sebuah tempat kerja suatu program pemeriksaan keselamatan adalah sangat penting untuk mencegah insiden, kecederaan dan penyakit. Lebih-lebih lagi jika terdapat penggunaan peralatan atau bahan yang berpotensi mendatangkan kemudaratan, atau jika ada aktiviti yang berisiko dijalankan.

Melalui pemeriksaan keselamatan di tempat kerja, kita dapat mengenal pasti dan merekodkan risiko keselamatan dan kesihatan. Lalu tindakan pembetulan atau pembaikan dikenalpasti dan dilaksanakan, dengan kejadian yang boleh mengakibatkan kemudaratan dapat dihindari.

Bagi tempat kerja yang mengamal sistem pengurusan keselamatan, pemeriksaan tempat kerja secara berjadual merupakan bahagian yang penting dalam sistem tersebut.

Sebagai kaedah mengukur pencapaikan, pemeriksaan yang dijalankan perlu dirancang secara sistematik, direkodkan dan ditambah baik dari masa ke semasa. Bergantung kepada piawaian sistem yang digunapakai, pemeriksaan tempat kerja dirangka mengikut keperluan yang sedikit berbeza.

Sungguhpun dikatakan pemeriksaan keselamatan mampu mencegah kemalangan, tetapi kejadian yang tidak diingini masih terus berlaku seolah-olah menggambarkan kegagalan amalan pemeriksaan di tempat kerja. Adakah terdapat kekurangan dari segi jumlah pelaksanaannya? Atau kualiti pemeriksaan itu yang menjadi punca kegagalan mencegah kemalangan?

SHO dan Pemeriksaan Tempat Kerja

Sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), pemeriksaan tempat kerja merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan. Ini sebagaimana yang dituntut oleh peraturan dibawah undang-undang statut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994;

Adalah menjadi kewajipan seseorang pegawai keselamatan dan kesihatan untuk memeriksa tempat kerja untuk menentukan sama ada apa-apa jentera, loji, peralatan, bahan, perkakas atau proses atau apa-apa jenis kerja kasar yang digunakan di tempat kerja, yang boleh menyebabkan kecederaan anggota ke atas mana-mana orang yang bekerja di tempat kerja;

Peraturan 18(b) Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997

Kegagalan menjalankan kewajipan ini akan mengakibatkan SHO berdepan dengan penolakan sewaktu memohon pembaharuan kelayakan SHO yang mesti diperbaharui setiap tiga tahun. Sewaktu permohonan pembaharuan kelayakan, SHO akan diminta untuk menunjukkan bukti bahawa mereka telah melaksanakan kewajipan mereka termasuk bukti-bukti pemeriksaan tempat kerja yang telah dijalankan.

Ketua Pengarah boleh enggan membaharui pendaftaran yang dibuat jika pemohon (SHO) telah gagal menjalankan kewajipannya sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta;

Peraturan 12(d) Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997

Telah ramai SHO yang menghadapi kesulitan memperbaharui pendaftaran kelayakan mereka gara-gara gagal menyertakan bukti-bukti sedemikian. Ini pastinya menjejaskan kerjaya mereka sebagai pengamal keselamatan dan kesihatan.

Selain pengamal OSH, siapa yang perlu melakukan pemeriksaan?

Di tempat kerja, majikan tidak boleh bergantung harap kepada pengamal keselamatan dan kesihatan (SHO, SS, etc) semata-mata untuk melaksanakan pemeriksaan. Kebergantungan terhadap pengamal untuk menjalankan pemeriksaan merupakan antara punca kegagalan dalam untuk mencegah kemalangan dan membentuk budaya kerja selamat. Bukan sahaja ia menghadkan liputan pemeriksaan, malah ia tidak akan membentuk budaya tentang ‘Keselamatan adalah tanggungjawab bersama’. Orang lain seperti ahli Jawatankuasa kesihatan dan keselamatan atau penyelia kerja turut perlu membantu melaksanakan pemeriksaan dan melaporkan penemuan. Keperluan ini sebenarnya telah pun dinyatakan dalam undang-undang statut di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996;

Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan hendaklah memeriksa tempat kerja sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk menentukan jika terdapat apa-apa yang memudaratkan keselamatan dan kesihatan orang yang diambil kerja di dalamnya:

Peraturan 12. (a) Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996

Selain dari itu, majikan sendiri perlu turun ke padang melihat sendiri keadaan tempat kerja dan risiko-risiko yang dihadapi oleh pekerjanya. Penglibatan majikan atau wakilnya dalam melaksanakan pemeriksaan keselamatan akan memberikan mesej kepada warga syarikat bahawa syarikat meletakkan OSH sebagai keutamaan. Ini sangat-sangat membantu pembentukan budaya keselamatan dan kesihatan di sesebuah syarikat.

Bagaimana pemeriksaan keselamatan sewajarnya dilaksanakan di tempat kerja?

Paling utama, pemeriksaan keselamatan dan kesihatan mestilah dilakukan dengan berpandukan proses atau prosedur yang teratur. Proses atau prosedur yang baik menjamin kelangsungan amalan ini dalam masa yang sama turut memastikan objektif program pemeriksaan dapat dicapai. Tanpa proses dan prosedur, amalan serta hasil pemeriksaan mungkin tidak konsisten atau hilang nilainya sebagai suatu kaedah pencegahan kemalangan.

Proses atau prosedur pemeriksaan keselamatan dan kesihatan yang baik perlu merangkumi sekurang-kurangnya dua kaedah pemeriksaan yang berbeza iaitu pemeriksaan am dan pemeriksaan berasaskan hazad.

Pemeriksaan Am

Pemeriksaan am biasanya dilaksanakan secara berjadual dan dirancang. Penetapan skop, waktu dan lokasi untuk diperiksa disusun bagi memastikan semua bahagian dan skop kerja akan diperiksa. Bergantung kepada keluasan tempat kerja, pemeriksaan mungkin perlu dirancang dan dilaksanakan beberapa kali sebelum ia dapat meliputi semua kawasan kerja. Oleh itu, tidak menjadi masalah sekiranya ia mengambil masa berbulan-bulan untuk melengkapkan pemeriksaan keseluruhan tempat kerja. Ataupun, pemeriksaan boleh dipecahkan kepada beberapa individu atau kumpulan agar keseluruhan tempat kerja dapat diperiksa dalam masa yang lebih singkat.

Dalam pemeriksaan am, pemeriksa boleh melakukan pemerhatian ke atas tempat kerja dan menyenaraikan.

Ketidakpatuhan untuk diperbetulkan atau ditambahbaik

Kerisauan (sesuatu yang belum dipasti) untuk semak atau dibincangkan dengan lebih lanjut samada ia berpotensi untuk mendatangkan risiko atau tidak.

Contoh yang baik untuk dijadikan tauladan kepada seluruh warga syarikat

Tiada had dalam menyenaraikan penemuan bagi suatu pemeriksaan am. Apa yang penting setiap penemuan perlu direkod secara sistematik agar tindakan selanjutnya dapat ditentukan dan dilaksanakan.

Pemeriksaan berasaskan hazad

Pemeriksaan berdasarkan hazad dan risiko pula biasanya dilakukan apabila aktiviti kerja berisiko yang telah dikenalpasti sedang dijalankan. Sebagai contoh, pemeriksaan perancah, pemeriksaan kerja-kerja pengorekan, pemeriksaan jentera dan sebagainya. Pemeriksaan ini lebih terperinci dengan penyenaraian perkara-perkara tertentu yang perlu diteliti dan direkodkan samada mematuhi keperluan keselamatan atau tidak. Pemeriksaan ini akan lebih bermutu sekiranya menggunakan senarai semak yang telah direka bagi hazad dan risiko yang tertentu memudahkan pemeriksa. Sebagai contoh, untuk pemeriksaan perancah, senarai semak yang direka akan menggariskan satu persatu bahagian-bahagian utama yang mesti diperiksa keadaannya. Ini akan menghasilkan keputusan pemeriksaan yang konsisten dan bertujuan bagi mengelakkan terlepas pandang mana-mana perkara yang penting sewaktu melaksanakan pemeriksaan.

Agak berbeza dengan pemeriksaan am, pemeriksaan sebegini lebih memerlukan pengetahuan yang khusus tentang hazad dan risiko yang cuba diperiksa. Oleh yang demikian, latihan dan bimbingan sebelum pemeriksaan sebegini perlu lebih ditekankan berbanding dengan pemeriksaan am.

Terdapat juga pemeriksaan berdasarkan hazad yang dilakukan dengan objektif semata-mata mencari punca-punca yang boleh mendatangkan kemudaratan. Di sesetengah organisasi ia dikenali sebagai ‘hazard hunt’, biasanya dilaksanakan secara berkumpulan. Seperti aktiviti memburu, kumpulan pemeriksa akan menentukan hazad apakah yang perlu diperhatikan atau ‘dicari’ ketika aktiviti pemeriksaan dijalankan. Bukan mencari kesalahan, sebaliknya ia bertujuan memastikan tempat kerja telah benar-benar bebas dari hazad yang telah diketahui menimbulkan banyak masalah keselamatan di tempat kerja.

Hasil Pemeriksaan

Selain menentukan tindakan pembetulan dan pencegahan, hasil pemeriksaan merupakan maklumat yang penting dalam pengurusan risiko di tempat kerja. Setiap penemuan memberikan maklumat tentang status pematuhan dan tahap keselamatan di persekitaran tempat kerja. Maklumat-maklumat ini turut memberikan petunjuk samada segala program atau prosedur yang dilaksanakan itu berjaya mencapai objektifnya atau tidak. Untuk tujuan ini, setiap maklumat penemuan perlu dianalisa dan di tentukan ciri-cirinya lalu membentuk profil yang penemuan yang sangat berguna.

Untuk membentuk profil hasil penemuan dari pemeriksaan tempat kerja, setiap penemuan perlu dikategorikan mengikut kumpulan dan jenis hazad. Selain itu, perlu juga ditentukan perkaitan penemuan itu dengan isu atau program yang dalam pelaksanaan di tempat kerja. Sebagai contoh, penemuan ke atas perancah yang dibina secara tidak selamat perlu dikaitkan dengan isu ‘bekerja di tempat tinggi’. Isu ini bukanlah kategori hazad tetapi dengan mengaitkan penemuan dengan isu-isu ini, kita boleh menghasilkan statistik atau analisa isu keselamatan yang paling biasa atau signifikan.

Analisa yang berkualiti akan dapat memberikan rumusan yang menunjukkan sekiranya terdapat kepincangan dalam pengurusan dan budaya kerja disesebuah syarikat. Hasil Analisa ini akan membantu syarikat membuat perancangan dan penambahbaikan sistem pengurusan atau program keselamatan dalam jangkamasa panjang.

Hasil pemeriksaan turut digunakan sebagai input yang membantu syarikat untuk menambahbaik HIRARC atau Taksiran Risiko sedia ada. Penemuan hazad serta risiko baru akan diserapkan ke dalam taksiran risiko yang sememangnya perlu disemak dari masa ke semasa.

Kesimpulan

Secara ringkas, hanya dengan amalan pemeriksaan keselamatan yang betul kita akan dapat mencegah dari berlakunya kemalangan di tempat kerja. Pelaksanaan yang betul ini termasuklah penglibatan semua pihak, prosedur yang lengkap dan analisa yang terperinci ke atas hasil pemeriksaan. Pengamal keselamatan dan kesihatan terutamanya SHO atau SSS disarankan menyemak semula program pemeriksaan ditempat kerja masing-masing. Bukan sahaja bertujuan memastikan ia sekadar dilaksanakan tetapi juga memastikan alaman ini mencapai objektif serta nilai pemeriksaan itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *